I made this widget at MyFlashFetish.com.

PELAWAT

Get a free hit counter .

Sunday, September 13, 2009

PENGERTIAN ZAKAT FITRAH


PENGERTIAN ZAKAT FITRAH
Zakat dari sudut bahasa ialah tumbuh dan bertambah. Harta yang dibayar sebagai zakat, ia sebenarnya menumbuh dan menambahkan lagi harta yang dimiliki oleh pembayar tersebut. Fitrah dari sudut bahasa ialah terbelah. Ada pun dari sudut syari‘at, maka Zakat Fitrah ialah harta yang wajib dibayar pada penghujung bulan Ramadhan. Demikian penerangan ringkas dari kamus-kamus bahasa Arab dan kitab-kitab fiqih.

Menarik untuk diperhatikan bahwa istilah Zakat Fitrah hanya dikenal dengan kedatangan Islam. Istilah tersebut tidak dikenal di kalangan bangsa Arab sebelum kedatangan Islam. Justru ia adalah istilah yang khusus untuk Islam, tidak untuk bangsa maupun agama yang lain. [al-‘Aini – ‘Umdat al-Qari Syarh Shahih al-Bukhari (Dar al-Fikr, Beirut, 1998), jld. 6, ms. 573]

Zakat fitrah juga dikenal dengan nama-nama lain, yaitu sedekah fitrah, zakat Ramadhan, zakat puasa, sedekah puasa dan sedekah Ramadhan.

Dalil Zakat Fitrah

‘Abd Allah ibn ‘Umar radhiallahu 'anhuma berkata:

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mewajibkan zakat fitrah sebanyak satu sha’ kurma atau satu sha’ gandum ke atas hamba dan orang yang merdeka sama, ada lelaki maupun wanita, anak kecil maupun dewasa dari kalangan umat Islam. Baginda memerintahkan agar ia dibayar sebelum orang ramai keluar menunaikan solat (Aidil Fitri). [Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 1503 (Kitab al-Zakat, Bab kewajipan sedekah fitrah)]

GOLONGAN YANG WAJIB MEMBAYAR ZAKAT FITRAH

Golongan yang wajib membayar zakat fitrah adalah seperti berikut:

Pertama:

Kewajiban zakat fitrah hanya ke atas orang Islam sebagaimana hadis ‘Abd Allah ibn ‘Umar yang telah dikemukakan sebelum ini: “Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mewajibkan zakat fitrah … dari kalangan umat Islam.”

Kedua:

Zakat fitrah diwajibkan ke atas orang yang mampu, yaitu memiliki kecukupan yang melebihi keperluannya untuk sehari semalam. Batas ini ditetapkan oleh para ahli fiqih mengingatkan tujuan zakat fitrah adalah untuk memenuhi keperluan orang miskin selama satu hari, yaitu pada 1 Syawal ( Aidil Fitri).

Kecukupan yang melebihi keperluannya adalah sesuatu yang sedia ada di sisinya. Oleh itu tidak perlu menjual harta, barang kemas dan sebagainya untuk mencapai taraf kecukupan.

Ketiga:

Orang-orang yang nafkah hidupnya berada dibawah tanggungan orang lain, maka dia tidak wajib membayar zakat fitrah. Zakat fitrahnya dibayar oleh orang yang menanggung nafkah hidupnya, berdalilkan hadis berikut:


أَنَّ النَبِي صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَرَضَ زَكَاةَ الْفِطْرِ عَلَى الصَّغِيرِ وَالْكَبِيرِ وَالذَّكَرِ وَالأُنْثَى مِمَّنْ تَمُونُونَ

Sesungguhnya Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam mewajibkan zakat fitrah atas anak kecil dan orang dewasa, lelaki dan wanita, dari orang-orang yang kalian tanggung nafkah hidupnya. [Hasan: Dikeluarkan oleh al-Daraquthni dalam Sunannya, hadis no: 2052 (Kitab Zakat al-Fitri) dan dengan sanad yang memiliki perbincangan. al-Albani menilainya hasan berdasarkan jalan periwayatan lain yang dikeluarkan oleh al-Baihaqi. Rujuk Irwa’ al-Ghalil fi Takhrij Ahadits Manar al-Sabil (al-Maktab al-Islami, Beirut, 1985), hadis no: 835]

Siapa dan bagaimanakah kedudukan orang yang di bawah tanggungan tersebut? Syaikh ‘Abd al-Karim Zaidan hafizhahullah telah menghimpun perbincangan para ilmuan dalam persoalan ini dalam karyanya al-Mufashshal fi Ahkam al-Mar’ah wa Bait al-Muslim fi al-Syari‘ah al-Islamiyyah (Muassasah al-Risalah, Beirut, 2000), jld. 1, ms. 455 dan seterusnya. Ia dapat saya ringkaskan seperti berikut:
  1. Suami tidak mampu, isteri tidak mampu. Suami isteri tidak wajib bayar zakat fitrah.
  2. Suami mampu, isteri tidak mampu. Suami membayar zakat fitrah untuk diri dan isterinya.
  3. Suami mampu, isteri mampu (memiliki harta atau bekerjaya). Suami membayar zakat fitrah untuk diri dan isterinya. Akan tetapi zakat tahunan isteri dibayar oleh isteri itu sendiri.
  4. Suami telah menceraikan isteri tetapi masih menanggung nafkahnya. Suami membayar zakat fitrah untuk dirinya dan untuk isteri yang telah diceraikan itu.
  5. Suami tidak mampu (miskin, muflis, kena PHK), isteri mampu. Isteri membayar zakat fitrah hanya untuk dirinya sendiri.
  6. Ibu bapa dan anak tidak mampu. Kesemuanya tidak wajib bayar zakat fitrah.
  7. Ayah mampu, anak tidak mampu. Ayah membayar zakat fitrah untuk anak-anaknya.
  8. Ayah mampu, anak mampu (biasiswa pendidikan, sudah bekerja). Masing-masing membayar zakat fitrah untuk dirinya sendiri.
  9. Ayah tidak mampu, ibu mampu, anak tidak mampu. Ibu membayar zakat fitrah hanya untuk dirinya.
  10. Ibubapa tidak mampu (tua, telah bersara), anak mampu. Anak membayar zakat fitrah untuk diri dan ibubapanya.
  11. Ibu sedang hamil. Tidak wajib membayar zakat fitrah untuk anak yang dikandung. Akan tetapi kebanyakan ilmuwan menganjurkannya berdasarkan tindakan para sahabat. [‘Abd Allah bin ‘Abd al-Rahman al-Bassam – Taudih al-Ahkam min Bulugh al-Maram (Maktabah al-Asri, Mekah, 2003), jld. 3, ms. 375]
  12. Penjaga dan anak yatim piatu tidak mampu. Kesemuanya tidak wajib membayar zakat fitrah.
  13. Penjaga mampu, anak yatim tidak mampu. Penjaga membayar zakat fitrah untuk dirinya dan anak yatim piatu jagaannya itu.
  14. Penjaga mampu, anak yatim piatu mampu (memiliki harta warisan). Penjaga membayar zakat fitrah untuk dirinya dengan hartanya sendiri. Kemudian membayar zakat fitrah untuk anak yatim piatu jagaannya dengan harta anak yatim itu sendiri.
  15. Penjaga tidak mampu, anak yatim piatu mampu. Penjaga tidak wajib membayar zakat fitrah tetapi membayar zakat fitrah untuk anak yatim piatu jagaannya dengan harta anak yatim itu sendiri.
HUKUM ZAKAT FITRAH

‘Abd Allah ibn ‘Umar radhiallahu 'anhuma berkata:

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mewajibkan zakat fitrah sebanyak satu sha’ kurma atau satu sha’ gandum ke atas hamba dan orang yang merdeka sama ada lelaki mahu pun wanita, anak kecil mahu pun dewasa dari kalangan umat Islam. Baginda memerintahkan agar ia dibayar sebelum orang ramai keluar menunaikan solat (Aidil Fitri). [Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 1503 (Kitab al-Zakat, Bab kewajipan sedekah fitrah)]

Berdasarkan hadis di atas, jumhur ilmuwan berpendapat bahwa hukum zakat fitrah ialah wajib. Ada segelintir yang berpendapat kewajibannya telah dibatalkan berdasarkan sebuah riwayat lain:

أَمَرَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِصَدَقَةِ الْفِطْرِ قَبْلَ أَنْ تَنْزِلَ الزَّكَاةُ فَلَمَّا نَزَلَتْ الزَّكَاةُ لَمْ يَأْمُرْنَا وَلَمْ يَنْهَنَا وَنَحْنُ نَفْعَلُهُ

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam memerintahkan kami untuk membayar zakat fitrah sebelum turunnya (kewajiban membayar) zakat (tahunan). Maka tatkala disyari‘atkan (kewajiban membayar) zakat (tahunan), baginda tidak lagi memerintahkan kami (untuk membayar zakat fitrah) maupun melarang kami (dari membayar zakat fitrah). Namun kita tetap melakukannya (membayar zakat fitrah). [Sahih: Dikeluarkan oleh al-Nasai dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Nasai, hadis no: 2505 (Kitab al-Zakat, Bab kewajiban sedekah fitrah sebelum disyari‘atkan zakat tahunan)]

Ibn Hajar al-‘Asqalani rahimahumullah (852H) telah menolak pendapat segelintir ini dengan hujah bahwa hadis di atas tidak menunjukkan adanya pembatalan. Sebaliknya sikap diam Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam adalah karena perintah baginda yang awal sudah mencukupi tanpa perlu untuk baginda mengulanginya. Lebih dari itu, pensyari‘atan sesuatu yang baru tidak semestinya bererti pembatalan ke atas sesuatu yang lama. [Fath al-Bari bi Syarh Shahih al-Bukhari (Dar al-Fikr, Beirut, 2000), jld. 4, ms. 139]

Selain itu ada juga yang berpendapat hukum zakat fitrah ialah sunat muakkad karena mereka memahami istilah “faradha” dalam hadis ‘Abd Allah ibn ‘Umar di atas sebagai “kadar ukuran”. al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani sekali lagi menolak pendapat ini dengan menukil hujah Ibn Daqiq al-‘Id rahimahumullah (702H), bahwa istilah “faradha” dari sudut bahasa memang bermaksud “kadar ukuran”. Akan tetapi yang diambil kira ialah maksud dari sudut syari‘at dan dari sudut ini, “faradha” ialah “kewajiban”. Maka memahami hadis ‘Abd Allah ibn ‘Umar dengan maksud kewajiban adalah lebih tepat. [Fath al-Bari, jld. 4, ms. 139]

* Sudahkah rakan-rakanku dan semua umat Islam membayar zakat fitrah...kalau belum jangan lupa tau.....

No comments:

Post a Comment

ELEMEN-ELEMEN MULTIMEDIA

PERKAKASAN MULTIMEDIA

MEDIUM MULTIMEDIUM